Biara Belur Ramakrishna Math

Ramakrishna Sangha berpindah ke kampusnya sendiri pada tahun 1899. Sebaik sahaja, Swami Vivekananda kembali ke India selepas kejayaannya dalam Persidangan Agama-Agama Dunia di Chicago, beliau memulakan kerja-kerja mendapatkan sebuah plot yang sesuai untuk mendirikan sebuah kuil Sri Ramakrishna dan biara untuk golongan rahib. Selepas membeli sebidang tanah di sisir sungai Ganga, Swami Vivekananda memanggil Swami Vijnanananda, seorang arkitek untuk merancang pembinaan sebuah kuil. Vivekananda mahu kuil Sri Ramakrishan menggabungkan semua ciri-ciri terbaik daripada kebudayaan Timur dan Barat selain menjadi simbol keharmonian agama. Swami Vijnanananda dengan bantuan En.Gyther, Arkitek Kerajaan melakarkan hampir tiga pelan pembinaan. Akhirnya, Swami Vivekananda meluluskan salah satu pelan itu. Namun, pembinaan kuil Biara Belur hanya sempurna pada tahun 1938 selepas Mahasamadhi Vivekananda.

Pada 14 Januari 1938, Swami Vijnanananda, Presiden keempat Ramakrishna Sangha, mengambil Ātmārāmer Koutā (bekas yang mengandungi abu suci Sri Ramakrishna) dari kuil lama dan menabalkannya di kuil baru. Sejak itu, pemujaan Sri Ramakrishna dilakukan di kuil baru.

Selain menjadi ibu pejabat Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission, biara yang dikenali sebagai Biara Belur (Belur Math) juga menjadi pusat bagi semua rahib-rahib Ramakrishna Order yang tinggal di serata India dan di luar India. Ahli-ahlinya terdiri daripada golongan rahib lelaki (Sannyasin) dan Brahmacharin.

Mengenai Biara Belur, Swami Vivekananda berkata: "Di Biara ini akan ada sebuah tempat tinggal untuk para Sadhu. Impian saya ialah untuk menukar Biara ini kepada sebuah pusat utama kerohanian dan ilmu kebudayaan. Kesaktian yang akan timbul dari tempat ini akan melanda seluruh dunia, dan menukar arah aliran kehidupan manusia ke tempat lain. Ideal-ideal yang membawa kepada keharmonian Ilmu, Iman, Yoga dan Kerja akan berputik dari sini. Hanya dengan anggukan kepala lelaki-lelaki dari Biara ini, dorongan hidup akan sampai ke pelosok terpencil dunia ini. Semua orang yang benar-benar mencari kerohanian akan berkumpul di sini kelak. Seribu idea begini timbul dalam fikiran saya." [4]